bg1icon  bg2icon  bg3icon  Reset    decrease   reset   increase   voice    
 | 
 
register
Mobile contact_us FAQ links help sitemap
program bumi hijau

Pengenalan | Latar Belakang | Lokasi | Syarat-Syarat

Warga kota di Malaysia pada lazimnya mendapat bekalan makan terutamanya sayur-sayuran dari pasaraya dan pasar basah berdekatan. Walaupun bekalan makan di Negara ini mencukupi namun mengikut jangkaan Organisasi Makanan Dunia (FAO), kesukaran untuk mendapat makanan akan berlaku bukan kerana bekalan tidak mencukupi tetapi disebabkan oleh bekalan tidak sampai ke tangan warga kota yang memerlukannya terutama pada masa berlakunya bencana

Pelaksanaan Program Bumi Hijau dan kempen amalan bercucuk tanam di kawasan bandar memainkan peranan penting untuk menerapkan budaya bertanam sumber makanan sendiri agar rakyat dilengkapi ilmu dan amalan hidup yang bukan saja dapat menyumbang kepada meringinkan beban perbelajaan isi rumah, malah dapat memperkasakan masyarakat sekiranya berlakunya bencana alam yang mungkin menyekat aliran bekalan makanan ke pusat-pusat jualan.

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 19 Oktober 2005 telah bersetuju untuk meluluskan Kempen Bumi Hijau dengan tujuan menggalakkan amalan bercucuk tanam untuk membantu mengurangkan belanja isi rumah dan meningkatkan ekonomi rakyat. Pelancaran kempen ini dirasmikan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi di peringkat Kebangsaan pada 3 Mac 2006. Kempen ini telah dijadikan Program Bumi Hijau bagi mengantikan Program Buku Hijau yang telahpun berjaya mengeluarkan petani dan pelandang berjaya bukan saja dari segi mengusaha ladang dan mengeluarkan hasil lumayan dan berkualiti, malah dapat meningkat tahap ekonomi negara serta taraf hidup rakyat di negara ini.

Walaupun matlamat program untuk masyarakat luar bandar adalah jelas dan mampu bergerak dengan pantas, namun bagi aplikasi program bumi hijau di bandar kurang mendapat sambutan warga kota kerana terdapat beberapa kekangan dari sudut praktikalnya. Warga kota kebanyakannya terdiri daripada golongan individu berkerjaya dan mempunyai profil keluarga muda. Masa untuk menjalankan aktiviti riadah seperti bercucuk tanam agak kurang. Selain dari itu, kebanyakan penduduk kota tinggal di kediaman jenis pangsapuri dan teres dimana kawasan tanah untuk bercucuk tanam adalah amat terhad.

Dengan mengambilkira kekangan yang dihadapi oleh warga kota dan kepentingan sebenar Program Bumi Hijau untuk menerap kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab berkomuniti, alam sekitar dan ancaman pemanasan global serta bencana alam dan harapan kehidupan tinggi yang kian tidak lekang menjadi isu semasa, Perbadanan Putrajaya menggambil langkah untuk berkerjasama dengan penduduk agar kekangan dan jurang pendapat dapat dirapatkan agar isu-isu komuniti di Putrajaya dapat ditangani bersama dan aspirasi Putrajaya bandaraya dalam taman yang bersemangat dan bertenaga dapat menjadi kenyataan.

Di Putrajaya, Program Bumi Hijau menitik beratkan pembabitan penduduk untuk berkerjasama dengan jiran tetangga dalam menjayakan kebun komuniti setempat bagi menjalankan aktiviti bercucuk tanam. Perbadanan Putrajaya sebagai pihak yang menjalankan fungsi sebagai pihak berkuasa tempatan mengambil tempat sebagai fasilitator kepada komuniti agar mereka dapat merancang hala tuju pembangunan kebun masing-masing dengan mengambilkira peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Perbadanan Putrajaya dengan diwakili oleh Bahagian Perancangan & Kawalan Landskap telah mengadakan beberapa sesi penyelarasan, penerangan dan latihan cara-cara menanam serta penjagaan kebun yang diadakan sepanjang tahun dengan pembabitan Unit Hortikultur Perbadanan Putrajaya, Jabatan Pertanian Putrajaya dan Unit Pembangunan Masyarakat Perbadanan Putrajaya. Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri pula bertindak sebagai penyelaras bagi pembabitan penghuni kuarters kerajaan.

 
     
 

 

Akuakultur ikan keli juga dijalankan oleh beberapa jawatankuasa penduduk dengan dipantau oleh Unit Kawalan Landskap Perbadanan Putrajaya bagi mengawal impak negatif terhadap alam sekitar. Walaubagaimanapun, aktiviti ternakan adalah tidak dibenarkan untuk dijalankan selaras dengan dasar pembangunan di Putrajaya.

Amalan bercucuk tanam tanaman untuk menjana sumber makanan segar amat digalakkan dengan menerapkan rekabentuk landskap berkonsepkan laman dapur atau ‘edible landscape’. Tanaman herba, ulam, sayur dan pelbagai tumbuhan yang sesuai dengan ruang di sekeliling rumah serta balkoni pangsapuri adalah disyorkan bagi memenuhi keperluan keluarga. Laman dapur ini sesuai untuk dijalankan di semua jenis kediaman dengan kaedah-kaedah tertentu terutamanya bagi penduduk kediaman jenis banglo, berkembar dan teres.

Bagi penghuni pangsapuri, mereka juga tidak ketinggalan menyertai program ini dengan menjadikan kawasan sekitar pangsapuri sebagai kebun komuniti bumi hijau. Antara Jawatankuasa Penduduk yang aktif sepanjang tahun 2009 adalah penduduk Pangsapuri 4B dan 4C, Presint 8 yang berjaya mengeluarkan sayur-sayuran sendiri dan dikongsi dengan jiran tertangga. Kejayaan Kebun Komuniti pertama (KK1) yang diusahakan oleh Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri 3A, 4B dan 4C, Presint 9 telah membawa Program Bumi Hijau Putrajaya ini ke peringkat yang lebih membanggakan apabila kebun ini dijadikan kebun contoh untuk lawatan pelbagai pihak dari luar negara seperti delegasi dari negara-negara G8 pada bulan September 2009 lepas. Lawatan dari dalam negeri juga tidak kurang hebat dengan kunjungan pelawat-pelawat dari pelbagai lapisan masyarakat yang ternyata kagum dengan usaha penduduk Putrajaya.

Perkembangan positif Jawatankuasa Penduduk serta kebun-kebun yang diusahakan oleh penduduk telah berjaya membawa Program Bumi Hijau Putrajaya ke tahap yang membanggakan. Kini, sebanyak enam buah kebun komuniti diusahakan diseluruh Putrajaya. Pada tahun 2009, Perbadanan Putrajaya telah mengangkatkan program ini sebagai salah satu daripada program Local Agenda 21 agar penduduk yang menyertai program ini dapat diperkasakan dengan membuka ruang kepada mereka mendapat sokongan dan bantuan daripada pihak swasta dan badan bukan kerajaan sebagai rakan kongsi untuk melonjakkan lagi kejayaan kebun komuniti mereka.

Kerjasama akrab berjaya dipupuk melalui program ini diantara jawatankuasa penduduk dengan Perbadanan Putrajaya bagi memperkasakan penduduk untuk merancang, membangun dan mengambil tanggungjawab terhadap kawasan kejiranan setempat. Usaha ini telah mendapat sambutan yang amat baik dari penduduk di Putrajaya sebagaimana yang disuarakan oleh punduduk semasa Bengkel Kerjasama Program Local Agenda 21 yang diadakan di Pusat Maritim, Presint 6, Putrajaya pada November 2009. Ia juga dilihat berpotensi menjadi satu batu loncatan bagi penduduk untuk menjadi mata dan telinga Perbadanan dalam pemantauan kawasan awam dan kawasan hijau agar sentiasa terjaga keindahan dan kemakmurannya.

Pada 29 Jun 2008, kebun komuniti Putrajaya pertama iaitu Kebun Komuniti (KK1) di Presint 9 yang diusahakan oleh jawatankuasa penduduk pangsapuri 3A, 4A, 4B dan 4C Presint 9 dengan bantuan teknikal disalur oleh Jabatan Pertanian Putrajaya Kementerian Pertanian Malaysia (DOA) dan diselaraskan oleh Bahagian Pengerusan Harta Jabatan Perdana Menteri (BPH) telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. Susulan daripada itu, beberapa lagi kebun komuniti telah berjaya dibangunkan oleh penduduk. Untuk memastikan pembangunan kebun-kebun komuniti di Putrajaya diusahakan oleh penduduk secara berterusan selaras dengan dasar pembangunan Putrajaya maka Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama DOA, BPH dan Jawatankuasa Penduduk yang telibat telah menyediakan syarat-syarat bercucuk tanam di kawasan awam sebagai panduan peserta-peserta kebun. Syarat kebenaran bercucuk tanam ini telah diluluskan pada 25 Julai 2008 untuk digunapakai di Putrajaya. Antara syarat utama kebenaran bercucuk tanam di kawasan awam adalah semua permohonan bercucuk tanam perlu dikemukakan melalui jawatankuasa penduduk kawasan masing-masing dan bagi penduduk kuarters kerajaan, ia juga perlu juga mendapat sokongan daripada pihak BPH.

Sehingga akhir tahun 2009, terdapat 8 buah kebun komuniti di Putrajaya giat menjalankan aktiviti berkebun iaitu (1) Kebun Komuniti P9/1 (KK1), Jalan 9/1, Presint 9 (2) Kebun Komuniti P9A (KK2), Jalan P9A, Presint 9 (3) Kebun Putra Harmoni, Presint 9 (4) Kebun Pangsapuri Fasa 11, Presint 9 (5) Kebun Pangsapuri 4A, Presint 8 (6) Kebun Pangsapuri 4B, Presint 8 (7) Kebun Pangsapuri 4C, Presint 8 dan (8) Kebun Pangsapuri Presint 16 dengan penyertaan 113 orang peserta.

 
     
 

 
 
 
SYARAT-SYARAT KEBENARAN BERCUCUK TANAM DI PUTRAJAYA

Permohonan Kebenaran Bercucuk Tanam

Semua permohonan hendaklah dikemukakan melalui Jawatankuasa Penduduk dengan melengkapkan Borang BT1-PPj dan BT2-PPj. Kebenaran hanya dikeluarkan melalui Jawatankuasa Penduduk berkenaan. Permohonan daripada penduduk Kuarters Kerajaan hendaklah disokong oleh Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri. Kebenaran untuk mengusahakan Kebun Komuniti hanya diberi kepada Jawatankuasa Penduduk dan semua urusan kebun adalah di bawah tanggungjawab Jawatankuasa berkaitan. Perbadanan Putrajaya berhak menarik balik Kebenaran Bercucuk Tanam yang diberi pada bila-bila masa tanpa notis.

Kawasan Bercucuk Tanam

Aktiviti Bercucuk Tanam boleh dijalankan di kawasan yang dibenarkan sahaja. Aktiviti ini tidak boleh menghalang laluan awam. Laluan selebar 1 meter perlu disediakan untuk laluan ke plot dan di antara plot. Kawasan plot tanaman hendaklah sentiasa dijaga rapi dan tidak mendatangkan kacau ganggu kepada mana-mana pihak.

Tanaman yang dibenarkan

Tanaman yang dibenarkan adalah dari jenis sayur-sayuran, ulam-ulaman, herba, ethno-botanikal dan pokok-pokok yang mempunyai ketinggian tidak melebihi 3 meter.

Bercucuk tanam di cerun

Bercucuk tanam di kawasan cerun dan berbukit tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan hakisan dan kegagalan cerun (Slope Failure). Kawasan cerun tidak dibenarkan untuk dibersihkan dan kaedah penanaman poket (Pocket Planting) hendaklah diguna pakai. Membuat batas di cerun adalah tidak dibenarkan.

Pembakaran terbuka tidak dibenarkan

Pembakaran sisa buangan kebun dan lain-lain tidak dibenarkan. Pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 29A atau 29B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Baja dan Kompos

Komposting adalah digalakkan dengan kaedah yang sesuai sepertimana yang digariskan oleh Jabatan Pertanian. Penggunaan baja organik dan kompos adalah digalakkan. Penggunaan baja kimia tidak digalakkan.

Racun Kimia tidak dibenarkan

Racun kimia untuk pengawalan rumpai, penyakit dan serangga tidak dibenarkan.

Kawalan Penyakit dan Perosak

Pengunaan bahan organik yang mesra alam seperti seperti Larutan Minyak Neem (Neem Oil), Larutan Bawang Putih dengan sabun dan Micro Organism (MO) yang dibenarkan (Contohnya BT) adalah digalakkan. Kawalan penyakit dan serangga secara mekanikal dan kultural seperti teknik pengawalan kitaran kehidupan (Life Cycle) adalah digalakkan.

Pengairan

Keperluan pengairan digalakkan dengan menggunakan kaedah tuaian air hujan (Rain Harvesting). Penggunaan air dari sumber Syabas adalah di bawah tanggungan Jawatankuasa Penduduk dan pengusaha sendiri dan hendaklah dari sumber yang sah dari segi undang-undang. Pemohon perlu mengemukakan cadangan keperluan pengairan yang hendak digunakan di kawasan kebun komuniti untuk makluman dan kelulusan Perbadanan Putrajaya.

Haiwan Ternakan Tidak Dibenarkan Dipelihara.

Kawasan Yang Perlu Dilindungi.

Berikut adalah kawasan-kawasan yang dilindungi dari apa-apa ancaman yang boleh menjejaskan kepentingan fungsi-fungsi kawasan berkenaan atas sebab-sebab kepentingan ekologi dan bio-diversiti setempat bagi Putrajaya dan sebarang aktiviti bercucuk tanam tidak dibenarkan:

Taman-taman Metropolitan kecuali kawasan yang dibenarkan sahaja.
Taman Permainan Kanak-Kanak.
Padang Rekreasi.
Rizab Jalan.
Sisiran (Promenade).
Persisiran (Waterfront).
Kawasan khas yang telah dirancangkan (designate) sebagai kawasan konservasi, pemuliharaan (rehabilitation) dan lain-lain kawasan yang didapati wujud keperluan perlindungannya atas apa-apa jua sebab.

 

Sebarang Pertanyaan dan khidmat nasihat sila hubungi Bahagian/Jabatan berikut :-


Penyertaan/perlaksanaan Program Bumi Hijau Putrajaya
dan bantuan bagi permohonan kebenaran bercucuk tanam:

Bahagian Perancangan dan Kawalan Landskap
Jabatan Landskap dan Taman, Perbadanan Putrajaya
Kompleks Perbadanan Putrajaya,
24, Persiaran Perdana, Presint 3, 62675 Putrajaya.
Pegawai : Encik Mohd Asri Mohd Amin
Tel: 03-8887-7310 Hp: 019-202-2279
Faks: 03-8887-5033 E-Mel: asri@ppj.gov.my

Khidmat nasihat dan bantuan teknikal pengurusan kebun komuniti:

Bahagian Hortikultur & Sumber Landskap,
Jabatan Landskap Dan Taman , Perbadanan Putrajaya,
Kompleks Perbadanan Putrajaya,
24, Persiaran Perdana, Presint 3, 62675 Putrajaya.
Pegawai : Encik Mohd Tajuddin bin Idris
Tel: 03-8887-7040 / 8561 Hp: 019-270-7017
Faks: 03-8887-5035 E-Mel: tajuddin@ppj.gov.my

Khidmat nasihat dan bantuan teknikal pengurusan tanaman:

Bahagian Hortikultur ,
Jabatan Pertanian Malaysia,
Aras 7-17, Wisma Tani, Lot 4G2,
Presint 4, 62632 Putrajaya.
Pegawai : Encik Ramli bin Md Afandi
Tel: 03-8870-3480 Hp: 013-635-6771
Faks: 03-8887-3462 E-Mel: ramliaff@doa.gov.my

Urusetia Program Bumi Hijau Putrajaya bagi penduduk kuarters kerajaan:

Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri,
Aras 7, Blok B3, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Pegawai : Encik Wan Azizan bin Wan Husin
Tel: 03-8880-0115 Hp: 019-924-8171
Faks: 03-8880-0121 E-Mel: w_azizan@bph.jpm.my
Maklumat ini hanya dalam versi BM.
button