bg1icon  bg2icon  bg3icon  Reset    decrease   reset   increase   voice    
 | 
 
register
Mobile contact_us FAQ links help sitemap
Breadcrumb
Floria

LOGORASMI 

 

For more information, please contact:
Ms Sashikala Nathan
M: +6012 903 6005
E: sashi@ppj.gov.my
Ms Siti Nazira Shabbdin
M:+6019 566 8804  
E: snaziras@gmail.com
Putrajaya Floria Sdn Bhd
Tel: 03-8893 1967   Fax: 03-8893 6590

 

 

 

‘10 KEGEMILANGAN FLORIA’ MENJANJIKAN PENGALAMAN YANG MEMPERSONAKAN MENERUSI ‘FLORIA WONDER GARDEN’

 

Bertemakan ‘10 Kegemilangan FLORIA’ atau ‘10 Wonders of FLORIA’, suatu pengalaman yang menakjubkan menanti pengunjung apabila FLORIA Diraja Putrajaya membuka tirainya kepada pengunjung mulai 25 Ogos hingga 2 September 2018 di Anjung Floria Event Centre, Presint 4, Putrajaya.

Meraikan ulang tahun ke-10 FLORIA Diraja Putrajaya, kesemua bunga yang pernah menjadi bunga tema semenjak tahun 2007 iaitu Bunga Raya, Orkid, Heliconia, Ros, Bunga Kertas, Begonia, Lily dan Kekwa akan dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok daripada pelbagai spesis dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan seumpama suatu hamparan bunga-bungaan yang berwarna-warni dan begitu menarik di dalam suasana landskap dan taman. 

 

Edisi ke-10 Festival Bunga dan Taman yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Tourism Malaysia diuruskan oleh anak syarikat milik penuh PPj, PULSE Group dan Putrajaya Floria Sdn Bhd (PFSB).

Pada tahun ini, festival bunga dan taman terbesar di rantau ini akan menghidangkan komponen-komponen baharu yang dijangka akan menarik minat orang ramai yang terdiri daripada pelbagai golongan dan usia.  Antaranya adalah Wonder Garden, Miniature Garden, Entrance Statement, Designer Boutique Gardens, Fertigation Garden dan Hipster Square manakala Pertandingan Orkid yang amat popular kembali dengan lebih kurang 300 pokok orkid dipamerkan menerusi 60 kelas (classes).

Bagi peminat bunga-bungaan yang menunggu kemunculan FLORIA sekali lagi, satu perjalanan yang mempersonakan menerusi taman-taman yang dicipta khas untuk memperingati setiap penganjuran FLORIA semenjak tahun 2007 akan membawa nostalgia tersendiri dengan bunga-bunga tema setiap tahun disusun sebagai laman bunga-bunga mekar berwarna-warni sehingga memasuki ruang kemuncak FLORIA 2018.  ‘Meadow’ atau hamparan bunga pelbagai warna berserta beberapa arca comel akan menambahkan keceriaan taman ini seolah-olah pengunjung berada di alam ‘wonderland’.   

Penyertaan peserta antarabangsa yang membuat penampilan setiap tahun adalah salah satu faktor yang menarik perhatian orang ramai di FLORIA Diraja Putrajaya.  Tahun ini, selaras dengan tema 10 Kegemilangan FLORIA, pereka bunga (floral designers) dan arkitek landskap dari 10 negara iaitu Brunei, China, Indonesia, Japan, Korea, Macau, Singapore, Vietnam, Taiwan dan Thailand diundang untuk menyertai FLORIA.

Ketika menyempurnakan majlis Sidang Media FLORIA Diraja Putrajaya 2018, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasim Bin Hj. Ismail, Presiden PPj berkata, “Bersempena ulang tahun ke-61 Kemerdekaan, kita akan gabungkan usaha untuk menonjolkan kepakaran, kreativiti dan profesionalisme pereka bunga tempatan yang setanding dengan peserta antarabangsa. 

Inilah masanya kita memberi peluang kepada peserta Malaysia di tempat kita sendiri menerusi pletform yang tersedia di FLORIA Diraja Putrajaya.  Memandangkan FLORIA diadakan pada Bulan Kemerdekaan kali ini, elemen sambutan kemerdekaan akan diterapkan ke dalam reka bentuk taman dan gubahan setiap kategori yang dipertandingkan.

Justeru, sempena sambutan tahun ke-10 penganjuran FLORIA, PPj juga ingin merakamkan penghargaan kepada peserta dan agensi yang sentiasa menyokong dan menyumbang kepada kejayaan FLORIA setiap tahun, termasuk pihak media.  Sebagai menghargai kesetiaan peserta dan pihak media, FLORIA 2018 menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM15,000.00 bagi Anugerah Garden Prime Award, RM10,000.00 bagi Designer Boutique Garden Award, RM5,000.00 bagi Anugerah Garden of Malaysia dan RM5,000.00 setiap satu bagi Anugerah Artikel Terbaik dan Foto Terbaik yang disiarkan menerusi media cetak atau elektronik.” 

 

Selain itu, seperti setiap edisi FLORIA, beberapa anugerah lain juga turut menjadi rebutan.  Antaranya adalah Royal FLORIA Putrajaya International Cup tajaan Putrajaya Holdings untuk reka bentuk di kalangan peserta yang dipilih sebagai pemenang di Floral Pavilion, Pertandingan Bonsai & Suiseki serta Pertandingan Orkid.

Sekali lagi, FLORIA akan meningkatkan lagi tahap profesionalisme dan kredibilitinya dengan menganjurkan Royal FLORIA International Dialogue (RFID) dan bertindak sebagai pemangkin bagi industri yang merangkumi peserta profesional dalam bidang landskap, bunga-bungaan, hortikultur dan florikultur dan bidang lain yang berkaitan.  Selain menjadi medan bagi pertukaran idea dan pendedahan kepada amalan hortikultur terbaik, peserta dialog juga dapat menimba ilmu daripada pakar-pakar di bidang hortikultur dan florikultur antarabangsa. 

Antara tarikan lain di FLORIA 2018 adalah Taman Diraja Perak yang diilhamkan dari Istana Kenangan di Kuala Kangsar dengan memaparkan ciri-ciri senibina yang unik, halus lagi berseni di samping ikon seperti Menara Pavilion, Menara Jam Kuala Kangsar dan Masjid Ubudiah manakala rekabentuk pintu masuk utama Taman Diraja berasaskan pintu masuk utama Istana Iskandariah di Bukit Chandan.  Arca Labu Sayong yang terkenal sebagai kraftangan warisan negeri Perak turut diintegrasikan ke dalam rekabentuk taman.

Entrance Statement di laluan utama Anjung Floria Event Centre yang juga merupakan satu perjalanan mengimbas kembali FLORIA sepanjang penganjurannya dijangka menjadi tumpuan pengunjung.  Menggunakan fabrik berwarna dan beralun yang diinspirasikan daripada logo FLORIA, susunatur fabrik diselangi dengan panel akrilik yang dihiasi corak bunga tema FLORIA setiap tahun.  Coraknya akan dipantulkan ke lantai menjadi bayang-bayang yang menarik pada waktu siang manakala pencahayaan pada waktu malam akan menghasilkan suasana yang berlainan.

Selain Bazar Tanaman (Garden Bazaar) dan Pasar Hortikultur (Horticulture Market) yang akan menjual segala keperluan perkebunan dan tumbuh-tumbuhan seperti pokok hiasan, pokok ulam-ulaman, pokok buah-buahan,  pokok bunga berpasu, perabot taman, peralatan taman, produk bioteknologi dan perkhidmatan landskap Taman Fertigasi yang menggabungkan tanaman menggunakan sistem fertigasi dan jualan hasil segar dari ladang dijangka menarik pengunjung untuk merasa kesegaran dan kemanisan buah rock melon yang baru dituai yang dijual di taman ini.
 
Pelbagai aktiviti harian akan diadakan sepanjang sembilan hari FLORIA Diraja Putrajaya berlangsung.  Aktiviti-aktiviti ini termasuk demonstrasi gubahan bunga, bengkel berkebun, acara hiburan, pertandingan fotografi, pertandingan cat air, serta seni dan kraf.

Komponen yang berjaya menarik perhatian ramai setiap kali, FLORIA Arts & Crafts dijangka menjadi satu tarikan bagi pengunjung yang ingin menikmati santapan persembahan seni, menyertai demonstrasi kraftangan serta membawa pulang hasilan kraftangan yang unik dan berkualiti. Di sudut ini, pameran dan jualan oleh lebih daripada 90 pengusaha kraf  akan menawarkan produk seni dan kraf yang diilhamkan daripada tumbuh-tumbuhan, landskap dan alam semulajadi.  Justeru itu, Hipster Square yang memperkenalkan satu budaya baru membeli-belah mensasarkan golongan remaja dan anak muda akan turut diadakan.

Selain daripada itu, seperti tahun-tahun sebelumnya, satu lagi perhimpunan mencungkil bakat muda dari Universiti dan Kolej akan diadakan bertujuan menarik minat penuntut untuk mengambil bahagian dalam Pertandingan Taman dengan mereka bentuk dan membina taman mereka sendiri secara "hands-on" di bawah pengawasan pensyarah masing-masing.  Sebanyak 30 universiti dan kolej akan menyertai Pertandingan Taman Universiti dan Kolej.

FLORIA Diraja Putrajaya 2018 akan dibuka kepada lawatan umum mulai 25 Ogos hingga 2 September 2018 dari 9:00 pagi - 10:30 malam (Isnin hingga Khamis) dan dari pukul 9:00 pagi hingga 12:00 tengah malam (Jumaat hingga Ahad).

Pengunjung digalakkan membeli tiket FLORIA 2018 secara atas talian (on-line purchase) mulai 1 Mei 2018 pada kadar yang lebih murah berbanding pembelian tiket di kaunter.  

FLORIA Diraja Putrajaya merupakan pameran bunga dan taman berbentuk festival yang dianjurkan oleh PPj semenjak tahun 2007.  Ia dijadikan acara tahunan semenjak tahun 2009 kerana mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para pengunjung. Festival ini mempamerkan produk-produk komersial dari industri hortikultur dan landskap, pertunjukan taman, demonstrasi oleh pereka taman dan pertunjukan bunga-bungaan dari dalam dan luar negara di mana kesemua tarikan ini akan dipersembahkan di dalam suasana taman.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.floriaputrajaya.com.my  

 
( HASLINDA KHALID )
Ketua Pegawai Eksekutif

Tarikh: 5 April 2018

button